Rindu bertandang lagi.
Rindu ini sukar untuk diubati
Aku rindu kenangan masa lalu
Kenangan sewaktu zaman kecilku
Aku rindukan suasana kampung...
Suasana biasa petang hari bila musim menuai tiba...
Aku terbayangkan diriku melompat dari satu guni padi ke guni padi yang lain. Pak Ngah Kotai (nama sebenarnya Mokhtar) orang tengah kepada Taukeh Cina, sibuk menimbang padi menggunakan penimpang yang ada tiang untuk dikandar. Untuk menimbang padi seperti ini memerlukan dua orang yang mempunyai ketinggian lebih kurang sama. Kemudian PakNgah Kotai akan mencatat jumlah berat padi di guni dengan kapur. Seguni padi yang baik boleh mencapat berat 90 kilogram lebih.
Kadang-kadang aku turut menyibuk membacakan timbangan. Kiranya counter check bagi pihak penjual terutamanya padi bapaku. Taukeh Cina pulak menyalin semula catatan timbangan ke dalam resit untuk diberikan kepada penjual/pesawah. Resit akan disimpan dan digunakan semasa menuntut bayaran dari PakNgah Kotai kemudian nanti. Kiranya PakNgah Kotai seperti bank pada masa itu. Duit akan dituntut sedikit demi sedikit bergantung kepada keperluan.
Jika lori padi bertanda LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang), mesti ada acara tebuk menebuk guni padi bagi menggredkan padi untuk mendapat persetujuan jualbeli antara pesawah dan LPP. Masa itu aku kurang pasti kenapa mesti tebuk2 guni padi begitu, kerana selepas itu padi-padi akan terkeluar dari guninya. Rasa macam membazir saja.
Guni-guni berisi padi kemudiannya diangkut menaiki lori dengan cara menanggung di atas belakang. Seterusnya buntil-buntil pagi disusun dengan baik di dalam lori untuk dibawa ke kilang.
Dulu, padi yang telah masak dituai dengan cara mengerat sehingga meninggalkan tunggul setinggi sejengkal sahaja. Kemudiannya padi dibanting di dalam tong. Padi yang telah lerai dari jeraminya dikaut dan diisi di dalam guni.
Jika musim menuai telah tamat, anak padi naik kembali, dihujung minggu atau cuti sekolah, aku bersama kakak dan sepupu akan mengetam padi pula. Padi yang diketam atau istilah biasa di kampungku 'kerat tengkok', akan dikumpulkan dua tiga hari atau sehingga habis diketam semuanya, akan diirik. Irik adalah perbuatan menceraikan padi dari tangkai dengan cara memijaknya dan dikesat-kesat antara satu sama lain. Bila dapat seguni beras atau seguni baja, kami jual kepada Pak Ngah Kotai. Dapat lah kami seringgit dua dari usaha kami tersebut.
Dahulu, bolehlah dibuat sebegini kerana musim padi terlalu panjang. 8 bulan setiap musim bergantung kepada cuaca dan hujan; membolehkan anak padi sempat tumbuh semula dan boleh dituai secara santai sekali lagi.
Berbanding dengan masa sekarang, mesin penuai terus masuk kedalam bendang untuk menuai dan setelah siap satu petak bendang, mesin akan memuntahkan padi yang telah lerai ke dalam lori yang telah sedia menunggu di tepi jalan. Tiada lagi acara menimbang dan menebuk guni padi seperti dulu.
Langgar sana...
Langgar sini...
Mak kata, dulu-dulu sewaktu jalan parit dan terusan masih kecil yang tidak memungkinkan lori masuk, padi dibawa keluar dari kampung dengan sampan atau basikal atau motorsikal. Tapi motorsikal sangat kurang pada masa tersebut. Lagipun beban yang boleh dibawa oleh basikal/motorsikal kecil berbanding dengan sampan untuk satu perjalanan. Sampan ditolak denga buluh dari atas tebing. Mengayuh sampan di terusan/parit yang sudah cetek bukannya senang. Pemandangan ini aku ingat-ingat lupa sebab aku masih teramat kecil. Tahun 1970-an.
Bila aku sudah mula memasuki alam persekolahan, barulah jalan kampung diperbesarkan. Terusan ditambak dengan tanah merah yang banyak supaya jalan menjadi lebar bagi memungkinkan lori dan jentera pertanian masuk ke kampung.
Bila hujan turun, debu tanah menjadi selut. Mengingatkan perkara ini jiwa sedikit terusik, kerana pernah sekali dalam perjalanan ke sekolah, lumpur pekat telah memenuhi roda basikal dan menyendatkan ruang antara tayar dan 'kung' menyebabkan basikal tersekat dan tidak mampu berjalan. Sedangkan di belakangku, sebuah lori besar yang mengangkut tanah ingin lalu. Apa lagi yang mampu aku lakukan... tolak basikal pun tidak bergerak.
Pemandu lori pulak menghon bertalu-talu sehinggalah kelindannya turun dan bertanyakan masalahku. Kuberitahu dia situasi basikalku. Nasib baik dia berhati mulia membantu mengorek keluar tanah lumpur pekat itu sehingga tayar boleh berpusing semula. Fenomena mengorek tanah lumpur dari basikal ini adalah pandangan biasa ketika itu. Pesan dia, "Adik langgar lopak air.. nanti tanah akan jatuh."
Itulah yang kulakukan, bila sampai di sekolah kain biru tua telah bertompok-tompok dengan lumpur merah. Kasut jangan cakaplah. Memang tak ada satu bahagianpun yang berwarna putih.
Kerana keadaan yang susah ketika itu, semangat kami selalu dibakar oleh guru terutamanya seorang yang berasal dari Pulau Pinang bernama Puan Rahilah Darus. Dia selalu menyuntik kata-kata semangat "Bersusah-sudah dahulu, bersenang-senang kemudian.."
Agaknya cikgu pun rimas dengan kami yang datang ke sekolah comot-comot. Kasut tak rupa kasut, kain macam belacan... hahahaha...
Aku kira InsyaAllah... cikgu ikhlas membakar semangat. Dia tidak tinggalkan kampungku walaupun sudah bertukar sekolah dan dia sendiri bertemu jodoh dengan orang kampung di sini.
Aku kira situasi itu mungkin masih terjadi di mana-mana kampung yang sedang menuju pembangunan.
Anak-anakku mungkin terselamat dari mengalami pahit getir seperti masa kecilku dahulu kerana ke sekolah sahaja dihantar dan dijemput menaiki van. Paling tidak kesusahan mereka bila van tiba-tiba pancit di tengah jalan dan mereka terpaksa menunggu kenderaan gantian datang menjemput. Harapanku agar mereka lebih berdaya saing dalam menempuh kehidupan meraka.
8 comments:
ridu sangat le tu kak awa..panjang bebeno entry kali ni...
mesin menuai tu macam robot tansformers!
iza,
betul... kalau boleh tak nak jadi orang dewasa... nak jadi kecik sentiasa... tapi tak boleh... ;)
js,
haaa.. mana tahu satu masa nanti satu jentera pertanian boleh tukar-tukar fungsi...
indahnya mengimbau kenangan di bendang.. tetiba rasa sayu.
hmm..dah lama tak merasa empeng..gaul dengan gula & kelapa..sedapnya.
~cik ketumbar~
kak awa,
ingat tak ada satu drama zizie ezette yang buat di tg piandang? dia jadi cikgu sekolah raja lope dalam cerita tu.
saya pernah merasa sat sebelum ada mesin menuai tu. menarik, bakaq jerami, naik sampan bawak semai, mengerat, tengok ayah saya banting/ayak padi, tanam labu (di antara musim), tanam jagung, tanam timun. dulu labu panjang², tak dapat jumpa dah time la ni. ingat tak gudang? bila musim menuai, boh padi. bila bukan musim, labu segala simpan dalam tu.
paling seksa masa padi masak towards musim menuai bila rama² putih tu terlampau banyak.. abih gatal² satu badan. bila air banyak pulak, banyak nyamuk.
tu la pengorbanan orang yang terlebih dahulu melalui..
arhhh.. balik kampung weekend lepas sampai kat PB je.. rindu betul nak tengok/tido dalam rumah sendiri di TP..
Cik ketumbar...
wahhh... sedapnya emping pulut tuh... yummm... yummm... che nie dah la hantu puluit...huhuhuhu...
SueA,
Ingat... cousin kak awa tolong jadi 'student' dalam citer tuh...
Bab2 buat bendang nie memang teringat sangatlah.
Yup.. .rerama tu selalu bikin ribut esp yang jenis alah. Anak2 kak awa kalau balik kg time rerama mengganas... perghhh... tak tau nak cakap... menggaru cam nak gila..
oh.. saya jugak rindukan menangguk dan menangkoi... ikan sepat dulu² sebesaq tapak tangan. punya banyak, siap boleh buat wadi...
uikss.... hat tu lagi la best utk dikenang... lagi satu time menimba telaga... ikan punya la banyak... la nie ikan tak sempat membesaq terburai isi prot kena mata jentani.. dulu.. kalau menajak terkena ikan, bapa bawak balik boleh buat lauk... selagi tahan taut... uikss... bestnyaaaaaa...
Post a Comment