Friday, April 25, 2008

Ralit membaca, tekun menulis

Cikliah berceloteh lagi....

Dua tiga hari kebelakangan ini topik hangat perbincangan dalam kereta adalah berkaitan angan-angan menjadi penulis. Tahun demi tahun, semua ini diinspirasikan dari kunjungan ke Pesta Buku Antarabangsa (KLIBF) di PWTC. Sementelah pula, semasa KLIBF2008 tempohari aku telah menemui novelis kegemaran iaitu John Norafizan dan Aina Emir. Sementara En Belingo pula sempat bergambar dengan Faisal Tehrani dan Sasterawan Negara A Samad Said.

Kemudian pada pagi Rabu yang lalu, aku sempat mendengar temubual Radio24 dengan Datuk Johan Jaafar dari DBP mengulas tentang fenomena pasaran buku sastera berat vs sastera ringan. Menurut Datuk Johan novel-novel popular dari penulis seperti Liena Afiera Malik sering mendapat tempat di hati rakyat Malaysia berbanding dengan buku-buku/novel dari jenis sastera berat. Novel popular ini kadang-kala diulangcetak sehingga 100,000 salinan. Dalam kepala saya mencongak, kalau pun diberi royalti RM1 untuk sebuah buku, kalau 100000 buku ?
Wahhhh... makcik kaya !! Tapi rasanya royalti yang diberi kepada penulis lebih dari RM1. Memang boleh buat duitlah dengan menulis novel walaupun sekadar novel picisan.

Aku selalu mengimpikan... kalaulah aku boleh menulis seperti mereka, nescaya aku sudah berhenti kerja dan menulis sahaja. ;)
Tapi apa yang aku dapat tulis kalau minat membaca, hanya novel dari genre sastera ringan. Cumanya akhir-akhir ini aku cuba juga berjinak-jinak dengan buku-buku berkaitan sejarah.

Hari ini pula, aku membaca rantaian email dari yahoogroups alumni yang berkisar tentang bloggers. Baru aku tahu kiranya JiwaRasa
adalah salah seorang senior di sekolahku dahulu. Namun tidak sempat mengenali beliau kerana sewaktu aku masuk, JiwaRasa sudah pun keluar dari sekolah. JiwaRasa dalam emailnya menyatakan dia sebenarnya bukanlah penulis blog politik yang sedang hangat diperkatakan masakini, tetapi kerana minat beliau terhadap buku telah membawanya ke alam blog.

John Norafizan, dalam mukadimah blognya telah mengqoute
Piers Paul Read sebagai berkata
"
Good novels are not written, they are rewritten. Great novels are diamonds mined from layered rewrites."
Kesimpulannya untuk menjadi penulis yang baik, mestilah rajin membaca. Bukan sekadar dalam genre yang menjadi kegemaran tetapi merangkumi semua bidang bacaan samada berat atau ringan. Dari situ kita mampu melahirkan idea yang lebih bernas dalam penulisan kelak. Seorang teman di satu yahoogroups lain pernah menyarankan, menulis mestilah dari hati.

Mampukah aku menjadi penulis ? Aku kira buat masa sekarang, biarlah aku menjadi pembaca sahaja. ;) Dan mungkin sekali-sekala mengasah minda dengan menulis di blog ini sahaja..... ;)

2 comments:

Jingga Studies said...

mampu kat awa!!!! NO DOUBT!!!

cikliah said...

Nak ambik semangat korang yang terror banget menulis... :D