Cikliah berceloteh lagi....
Belum sampai ke pagar rumah lagi, kakak tiba-tiba muncul dari rumah kawannya dan menahan keretaku. Dia masuk ke dalam kereta dan terus bercerita,
"Ibu, tadi kawan kakak F___ tu kena pukul dengan ayah dia kat sekolah."
Wah ! Ini sudah luar biasa. Bagaimana mungkin parents menghukum anak di sekolah ?
Dan kakak terus bercerita sehinggalah aku siap memakirkan kereta dalam kawasan rumah. Sebelum ini kakak pernah juga bercerita pasal kawan sekelasnya ini.
Kami tidak terus turun bahkan menyambung perbualan tentang kawannya yang kena rotan itu. Aku tambah berminat manakala dia pulak seakan takut dan ngeri bila mengenangkan peristiwa itu dan memintaku untuk tidak bertanya lanjut. Namun dia tetap bercerita bila aku sambung bertanya. Kata kakak lagi, ayah F memukulnya dengan rotan di luar kelas sehingga terkena kaca tingkap kelas Nurani pecah. Kakak kata mata ayah F merah. Aku kira mungkin dia menangis terlalu marah atau kecewa dengan F. Sebab musabab kenapa ayah F datang dan memukul F di sekolah tidaklah diketahui dengan tepat. Kakak ada menyebutnya secara sipi-sipi sahaja tapi itu hanyalah andaian rakan sekelas mereka sahaja.
Sebenarnya ramai rakan yang telah menjadi mangsa kenakalannya. Kakak sendiri pernah ditendang di tangan sehingga terkopek kulit. Walaupun diarahkan oleh guru kelas untuk bermaafan, F sedikit pun tidak mengaku salah. 'Lebih mencemaskan' ada ibubapa yang sanggup memberi F duit, seolah-olah memberi wang perlindungan dan memohon F tidak membuli atau mengenakan anak mereka lagi. I think this is too much. Pandangan peribadiku, ini tak sepatutnya berlaku kerana ini akan mendorong F memeras ugut! F hanyalah seorang kanak-kanak yang baru menginjak usia 9 tahun.
Aku tidak menafikan yang kami sebagai ibubapa pernah sependapat untuk bersemuka dengan F dan ayah telah pun berjumpa dengan F semasa Temasya Sukaneka tempohari. Namun ayah tidaklah memarahi F sebaliknya cuma menegur dan memberi nasihat supaya dia tidak membuli kakak dan kawan-kawannya lagi serta memintanya berkawan dengan baik.
Sebenarnya aku kasihan pada F yang dikatakan terlebih nakal itu. Mungkin F tergolong dalam kelompok kanak-kanak hyperaktif dan perlu diberi rawatan. Aku pernah bertanya berkaitan kanak-kanak hyperaktif ini kepada Dr Heliza Shafie, seorang pakar kanak-kanak di APSH. Menurut Dr Heliza , anak-anak ini perlu dipastikan tahap "keaktifan"nya dan jika perlu, dia harus diberi suntikan bagi menenangkannya Ini adalah untuk mengurangkan rasa 'jelak' dan 'benci' orang kepadanya yang later on akan memberi impact kepada perkembangan rohani dan jasmani seseorang kanak-kanak tersebut.
Nasihat tersebut juga telah dikongsikan oleh Dr Harlina Siraj ketika kunjungannya ke Surau Alhidah tempohari kepada seorang ibu telah bertanyakan masalah menangani anaknya yang juga "aktif". Menurutnya, telah kering air mata dan beliau kini buntu dalam membentuk anaknya itu. Nasihat, teguran bahkan pukulan sudah tidak memberi bekas lagi.
Berbalik kepada cerita kakak tadi, F seolah-olah insaf dan kembali memberi penumpuan dalam kelas selepas peristiwa itu. Walaupun begitu hatinya "tetap kering" dan dengan selambanya memberitahu kepada kawan-kawannya yang dia tidak merasa sakit pun dirotan ayahnya.
Mendengar cerita kakak ini, aku terasa ingin sangat mengenali F dengan lebih dekat lagi. Tapi menurut ayah yang telah bersemuka dengannya, memang F seorang yang sangat menjengkelkan. Aku telah berberapa kali mendengar cerita tentang kanak-kanak hiperaktif ini tapi belum pernah mengalami atau melihat dengan mata kepala sendiri.
Mungkinkah ada sinar bahagia buat mereka ?